Mendidik Anak Dengan Adab

Mendidik Anak Dengan Adab

===========

1. Sebahagian salafussoleh menyatakan bahawa memiliki etika itu lebih utama dari menguasai ilmu yang luas. Apa gunanya ilmu setinggi langit andai diri tidak dihiasi dengan etika mulia. Atas dasar itu Abdullah ibn al-Mubarak menegaskan bahawa:

نحن إلى قليل من الأدَب أحوجُ منا إلى كثيرٍ من العلم
“Kita lebih memerlukan kepada etika (walau) sedikit berbanding dari memiliki ilmu yang menggunung.” (al-Khatib al-Baghdadi, al-Jami’ li Akhlaq al-Rawi)


2. Bahkan al-Imam Malik dikatakan sangat mengutamakan etika dalam pengajian beliau. Perkara ini dinukilkan oleh anak murid ia iaitu Abdullah ibn Wahb yang menyebutkan:

ما نقَلْنا مِن أدب مالكٍ أكثرُ مما تعلمنا مِن عِلمه
“Apa yang kami pelajari daripada etika Imam Malik itu lebih banyak dari apa yang kami pelajari dari ilmunya.” (al-Asbahani, Hilya al-Aulia’)

3. al-Imam Malik dikatakan turut pernah menegur al-Imam al-Shafie yang dilihat seakan bermain-main dengan jarinya ketika majlis pengajian hadith dijalankan. Perbuatan bermain-main dengan jarinya itu seakan dilihat tidak beradab ketika pengajian hadith. al-Imam Malik lalu memanggil al-Shafie untuk bertanya tentang kelakuannya itu. al-Shafie lalu menjawab:

يا سيدي! ما كنتُ أعبث ولكني كنتُ أسجل بريقي ما تقول حتى لا أنسى؛ لأنني فقير، ولا أملك الدرهم الذي أشتري به القرطاس والقلم.
“Wahai Tuanku, saya tidak bermain-main, tetapi saya menulis dengan air liurku (di atas tapak tanganku) biar saya tidak lupa. Sesungguhnya saya adalah orang yang miskin dan tidak memiliki dirham untuk memberi kertas dan pen.”

Rupa-rupanya al-Imam al-Shafie menulis diatas telapak tangannya menggunakan air liurnya. al-Imam Malik menyangkakan bahawa al-Shafie bermain-main dengan tangannya. Lihatlah betapa seriusnya al-Imam Malik dalam menjaga etika anak muridnya ketika pengajian ilmu sedang berjalan.

4. Bahkan sebahagian hukama menyimpulkan bahawa etika yang tinggi adalah kesan dari ibadah yang diterima. Seakan tiada gunanya buat mereka yang memiliki amal yang banyak tetapi tidak memiliki etika yang tinggi. al-Imam Ibn al-Qayyim menukilkan:

الأدبُ في العمل علامةُ قَبول العمل
“Beradab di dalam amalan itu (salah satu daripada) tanda amalan itu diterima.” (Madarij al-Salikin)

5. Seharusnya mereka yang dilihat memiliki pengetahuan yang luas itu turut dihiasi dengan etika yang mulia. Lihatlah bagaimana Allah mendidik Nabi Musa yang menyangkakan dirinya lebih mengetahui dari orang lain. Perkara ini diceritakan oleh Rasulullah yang menyebutkan:

أَنَّ مُوسَى قَامَ خَطِيبًا فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ ، فَسُئِلَ : أَيُّ النَّاسِ أَعْلَمُ ؟ فَقَالَ : أَنَا ، فَعَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِ 

“Sesungguhnya Nabi Musa mengatakan khutbah kepada Bani Israel. Lalu ia ditanya, siapakah yang paling mengetahui (paling memiliki ilmu) dikalangan manusia. Lalu Nabi Musa menjawab: Aku. Maka Allah mengatakan pengajaran kepada ia (Nabi Musa).

Dikatakan pada Nabi Musa bahawa terdapat seorang hamba (Nabi Khader/Khidr) yang memiliki ilmu yang lebih dari engkau. Lihatlah bagaimana dalam proses pengajian Nabi Musa bersama dengan Nabi Khidr, ia lebih banyak terdidik dari aspek adab.

6. Kadang-kadang mungkin kita terasa lebih bijak dan akil dari yang lain sehingga terlepas aspek etika yang perlu dijaga. Ia adalah peringatan buat diri saya sendiri.

Semoga Allah membimbing kita semua dan mengurniakan kita etika yang diredai Allah.

MD Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Sumber :
https://www.facebook.com/630358917301238/posts/929042547432872/

Belum ada Komentar untuk "Mendidik Anak Dengan Adab"

Posting Komentar

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel