Empat Syarikat Jalin Kerjasama Dengan Kpm Naik Taraf Tvet
EMPAT SYARIKAT JALIN KERJASAMA DENGAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN NAIK TARAF TVET
Kementerian Pendidikan Malaysia melakar sejarah apabila empat rakan industri menandatangani Sijil Jalinan Kolaborasi (CoC) dengan Kementerian bagi menaik taraf Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui penyediaan latihan, kemudahan, bengkel dan peluang kerjaya kepada pelajar-pelajar TVET, hari ini.
Empat rakan industri tersebut yakni Berjaya Corporation Berhad, Tropicana Corporation Berhad, Naza Group dan Top Glove Corporation Berhad.
YBhg. Dato’ Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiuasaha Kementerian Pendidikan Malaysia (Perancangan Strategik) yang hadir mewakili YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia berkata, “KPM menekankan kepentingan TVET dalam mengurangkan jurang ketidakseimbangan dalam penawaran dan undangan tenaga mahir, tahap ketersediaan pelajar dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan meningkatkan kebolehpasaran graduan."
Tambah beliau, usaha berterusan pelbagai pihak terutama jalinan kerjasama dengan rakan industri harus dipertingkatkan dalam memperkasakan bakat TVET di negara ini.
“Sijil Jalinan Kolaborasi ini melambangkan kesepakatan sektor awam dan swasta dalam membawa TVET ke peringkat seterusnya yang lebih tinggi.
"Saya percaya ini merupakan permulaan, Kementerian komited untuk mewujudkan lebih banyak jalinan kerjasama. Bukan sahaja dalam bidang TVET, malahan meningkatkan keseluruhan ekosistem pendidikan di negara ini”, kata beliau.
Majlis menandatangani sijil ini merupakan sebahagian daripada pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh KPM dalam meningkatkan kualiti pendidikan TVET di Malaysia. Selain jalinan kerjasama dengan rakan industri, KPM turut berhubungan dengan Kementerian Sumber Manusia dalam menyediakan kertas kerja untuk menyesuaikan pendidikan TVET ke arah IR4.0.
Selain itu, KPM turut berkolaborasi dengan MDEC dan ME.REKA dalam menyediakan platform kepada lima buah kolej komuniti untuk merasai pengalaman pembelajaran bertemakan IR4.0 serta berhubungan dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk melebarkan saluran kepada para pelajar untuk mengambil jurusan TVET.
KPM turut mengadakan sesi townhall TVET di enam buah zon, mewujudkan pasukan petugas khas TVET bagi memperkasakan pendidikan TVET dan menyediakan rangka kerja pendidikan TVET.
Berjaya Corporation Berhad diwakili oleh YBhg. Dato’ Sri Robin Tan Yeong Ching selaku Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation manakala Naza Group diwakili oleh YBrs Encik Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Strategiknya.
Top Glove Corporation Berhad diwakili oleh YBhg Dato’ Dr. Ir. Andy Soe selaku Penasihat Pembuatan dan Operasi syarikat manakala YBrs Cik Ung Lay Ting, Pengarah Urusan Jualan dan Pemasaran serta Pembangunan Perniagaan mewakili Tropicana Corporation Berhad.
YBrs Ts. Dr. Mohammad Naim Yaakub, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti menandatangani CoC bagi pihak Kementerian.
Belum ada Komentar untuk "Empat Syarikat Jalin Kerjasama Dengan Kpm Naik Taraf Tvet"
Posting Komentar